Sekolah Kebangsaan Alor Gajah (I) pada asalnya ialah Alor Gajah English School yang telah dibuka dengan rasminya oleh Tuan Resident Commisioner Melaka pada 28 Februari 1954 dengan bilangan murid seramai 160 orang sahaja.
Pada masa itu, ramai ibu bapa di sekitar Alor Gajah menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini. Pada waktu itu Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penghantar dalam semua mata pelajaran.
Pada tahun 1962, sebuah bangunan tambahan mengandungi empat buah bilik darjah telah dibina dan mula digunakan. Mulai 1966, bangunan Sekolah Kebangsaan Alor Gajah telah diserahkan kepada sekolah ini bagi menampung bilangan pelajar yang kian bertambah. Sekolah Kebangsaan Alor Gajah berpindah ke bangunan baru bersebelahan dengan Sekolah Dato` Dol Said.
Mulai Januari 1970, sekolah ini ditukar nama kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah selaras dengan dasar pendidikan negara. Oleh sebab sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk sekitar, sekolah ini telah dipecahkan kepada dua menjadi:
1. Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah (I).
2. Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah (II).
Mulai Januari 1978, Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah (II) berpindah ke bangunan baru dan ditukar nama menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan Dato Naning.
Pada tahun 1993, sebuah lagi bangunan gotong royong telah dibina bersebelahan dengan blok C. Bangunan ini dibina bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai di sekolah ini. Salah satu daripada bangunan hadapan sekolah ini telah diambilalih oleh Pejabat Pendidikan Daerah.
Pada penghujung tahun 1996, Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah (1) telah ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Alor Gajah (1). Nama ini kekal sehingga ke hari ini.
Pada penghujung tahun 1998, dua blok bangunan lama (asalnya bangunan Sek. Keb. Alor Gajah ) telah dirobohkan dan digantikan dengan dua blok bangunan empat tingkat. Sepanjang pembinaan dua blok bangunan baru ini pada tahun 1999, sekolah ini telah dibuka kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Murid-murid tahun 1, 4, 5 dan 6 bersekolah di sesi pagi manakala murid-murid Tahun 2 dan 3 bersekolah di sebelah petang. Kedua-dua bangunan ini disiapkan sepenuhnya pada bulan Disember 1999. Bangunan-bangunan baru ini terdiri daripada empat belas buah bilik darjah dan bilik-bilik khas seperti Makmal Sains, Bilik Gerakan, Bengkel Kemahiran Hidup, Pejabat, Bilik Guru dan Bilik Pusat Sumber.
Dengan adanya kemudahan dan prasarana yang lengkap serta bilik darjah yang mencukupi maka mulai sesi persekolahan tahun 2000 murid-murid sekolah ini bersekolah satu sesi semula.
Saturday, February 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment